Recipe Traditional

Resepi Tumis Kacang Panjang Telur Masin

Resepi Kacang Panjang Tumis Bersama Telur Masin

Bagaikan tidak lengkap hidangan nasi tanpa sayuran, walaupun ada yang tidak suka makan sayur terutamanya kanak-kanak tetapi jika anda kreatif sedikit di dalam penyediaannya, pasti boleh menjadi hidangan yang di gemari seisi keluarga.  Bagi yang baru pertama kali ingin mencuba masakan Kacang Panjang Bersama Telur Masin bolehlah mencuba resepi ini yang sangat ringkas, mudah dan enak! Kacang panjang merupakan tumbuhan yang biasanya di jadikan sayur ataupun sebagai ulam-ulaman. Dan tahukah anda bahawa kacang panjang merupakan tumbuhan yang banyak sangat khasiat untuk kesihatan tubuh badan manusia. Selain kacang panjang, anda juga boleh menggantikannya dengan kacang buncis di dalam masakan ini. Seperti juga hidangan sayuran lain, masa penyediaannya juga adalah singkat sahaja dan sedap di nikmati dengan nasi panas. Telur masin bukanlah makanan yang biasa dimakan oleh masyarakat pelbagai kaum di Malaysia seperti telur rebus. Hanya masyarakat Cina dan segelintir masyarakat Melayu saja yang menggemari telur masin. Biasanya telur masin di masak dengan udang atau ketam, sesekali cubalah menu baru pula! Di tambah dengan sedikit udang di dalam sayuran ini, percayalah ia sememangnya dapat membangkitkan selera anak-anak dengan masakan ini!

Bahan – bahan

Bahan Tumis

  • 2 sudu besar minyak masak
  • 2 ulas bawang putih
  • 2 ulas bawang merah
  • ½ tangkai cili merah besar

Bahan Sos

  • 1 sudu besar sos tiram
  • 1 sudu besar kicap manis
  • ½ sudu besar sos sotong / kicap sotong

Bahan Lain

  • 300 gram kacang panjang
  • 1 sudu besar sambal belacan
  • 1 sudu kecil gula
  • ½ sudu kecil lada sulah
  • ¼ cawan air masak
  • 5 ekor udang segar
  • 1 biji telur masin

Cara Penyediaan

  1. Selepas minyak masak telah di panaskan di dalam kuali, tumiskan bahan-bahan menumis yang telah di hiris terlebih dahulu iaitu bawang merah, bawang putih dan cili merah besar. Tumis sehingga bau harum dan warnanya bertukar menjadi keperang-perangan. Pastikan bahan-bahan yang di tumis itu tidaklah sampai hangit.
  2. Langkah seterusnya, masukkan udang segar bersaiz sederhana besar yang telah dibersihkan serta kacang panjang yang telah di patah-patahkan ataupun di potong terlebih dahulu. Kacau perlahan-lahan sehingga rata. Selepas itu, masukkan air masak ke dalam kuali. Renehkan ia sebentar sehingga kacang panjang menjadi lembut sedikit.
  3. Seterusnya, masukkan bahan-bahan sos iaitu sos tiram, kicap manis dan sos sotong / kicap sotong. Tambahkan juga lada sulah dan gula sambil di kacau-kacau. Jika kuah agak pekat, masukkan sedikit air lagi mengikut cita rasa masing-masing.
  4. Kemudian, masukkan sambal belacan yang telah di kisar atau di tumbuk dengan satu tangkai cili merah bersama satu sudu kecil belacan. Kacau sehingga semua bahan sebati dan rata dengan kacang panjang tersebut.
  5. Setelah itu, masukkan bahan utama kedua iaitu telur masin. Terlebih dahulu, telur masin itu haruslah di rebus dan di belah ke pada dua bahagian. Satu bahagian haruslah di cincang dan satu bahagian lagi mestilah di potong baji. Masukkan dahulu sebahagian telur masin yang telah di cincang dan di hancurkan terlebih dahulu ke dalam kuali. Kacau sehingga sebati dan rata.
  6. Langkah terakhir, jika rasanya sudah mantap, matikan api dapur dan hidangkan sayur kacang panjang yang telah masak dengan menabur sebahagian lagi telur masin yang telah di potong tadi. Sedia untuk dinikmati!
Tumis Kacang Panjang Telur Masin

Anda boleh mendapat lebih banyak resepi yang lain dengan hanya tekan disini.

Artikel lain: Resepi Tenggiri Panggang Keledek, Resepi Kari Udang Belimbing Buluh, Resepi Lemak Ketam Buah Munggai, Resepi Risoles Isi Ayam