Resepi Sotong Kam Heong

Resepi Sotong Kam Heong Chinese Style

Hati dan pemikiran anda mungkin masih dalam mod cuti walaupun Cuti Tahun Baru Cina sudah lama berakhir. Manjakan hati anda dan seisi keluarga selepas percutian dengan Kam Heong Sotong yang pedas dan wangi. Gabungan sotong segar, serai, udang kering, daun kari dan cili kering ini menjadikan kuah sedap yang dijamin sangat epik. Ditambah pula dengan serbuk kari untuk membangkitkan rasa dan aroma yang memikat hati semua. Jadi, jika anda masih berfikir dan mencari hidangan yang ringkas tapi sedap, apa kata cuba Resepi Sotong Kam Heongkerana ianya sangat mudah dan ringkas. Anda boleh memakannya dengan nasi putih sahaja dan tidak memerlukan apa-apa lauk tambahan lain lagi.

Bahan – bahan

Bahan Perap

  • 12 ekor atau 500 gram sotong
  • 3 sudu besar tepung jagung
  • Sedikit air masak

Bahan Lain

  • 8 sudu besar minyak masak
  • 2 ulas bawang putih
  • 4 ulas bawang merah
  • 6 tangkai cili padi
  • 2 sudu besar udang kering
  • 1 sudu besar serbuk kari ikan
  • 3 tangkai daun kari
  • 1 batang serai
  • 1 sudu kecil kicap cair
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 3 sudu besar atau ¼ cawan air panas
  • 1 sudu kecil serbuk lada hitam
  • ¼ sudu kecil garam
  • ½ sudu kecil gula

Cara Penyediaan

  1. Bersihkan beberapa sotong yang bersaiz sederhana kecil dan tuskannya sebentar. Selepas di potong secara membulat, salutkan kesemuanya dengan bancuhan tepung jagung yang pekat bersama air masak yang sangat sedikit. Ketepikannya, perap selama 10 minit sahaja. Ini bertujuan agar dapat membantu melembutkan kulit dan isinya.
  2. Masukkan enam sudu besar minyak masak ke dalam kuali yang telah dipanaskan. Lalu gorengkan yang telah di perap tadi, pastikan sotong tidak melekat sesama sendiri. Goreng sebentar sahaja dalam satu minit sahaja agar sotong tidak menjadi liat. Angkat ke semuanya dan tuskannya.
  3. Langkah seterusnya, di kuali yang lain, masukkan pula dua sudu besar minyak masak dan tunggu sehingga minyak tersebut cukup panas. Kemudian, tumiskan bahan-bahan yang telah dicincang iaitu bawang putih, bawang merah dan serai. Tumis selama 2 – 3 minit dengan api sederhana hingga lembut. Masukkan juga daun kari dan cili padi yang telah dihiris sehingga tumisan itu telah bertukar menjadi warna kekuning-kuningan.
  4. Selepas itu, masukkan udang kering sudah pun di rendam dengan air panas terlebih dahulu lalu di cincang lumat sebelum di campurkan ke dalam kuali sambil di kacau perlahan  sehingga tumisan menjadi sebati dan berbau wangi.
  5. Kemudian, tuangkan serbuk kari, kicap cair, sos tiram dan serbuk lada hitam ke dalam kuali. Besarkan sedikit api dapur dan masukkan pula sotong yang telah di goreng terlebih dahulu tadi sambil di kacau sehingga tumisan tadi bersalut rata dengan sotong itu.
  6. Langkah terakhir, masukkan juga sedikit air panas dan masak sehingga kuah menjadi pekat dan sebati dengan ke semua sotong. Masukkan sedikit air jika terlalu kering dan perasakan dengan garam dan gula dan masak sehingga kuahnya sedikit kering. Selesai! Setelah masak sepenuhnya, matikan api dapur dan hidang sotong tersebut dengan nasi putih yang panas.
  7. Sekiranya anda lebih suka versi hidangan ini yang lebih kering, gorengkan yang dilapisi tepung jagung dengan cepat selama beberapa saat hanya untuk memasaknya terlebih dahulu.
sotong kam heong

Tekan disini untuk melihat kepelbagaian resepi yang telah dikongsi.

Artikel lain: Resepi Ikan Salmon Rangup, Resepi Kurma Ayam, Resepi Ayam Ros Merah, Resepi Daging Masak Hitam, Resepi Laksam Putih