Resepi Paprik Ayam

Resepi Ayam Masak Paprik 100% Thailand

Masak paprik biasanya adalah salah satu menu wajib yang anda akan pesan apabila makan di Restoren Siam. Tidak kiralah masak menggunakan ayam, daging, belut mahupun makanan laut. Semuanya pasti sedap apabila di gandingkan dengan paprik. Resepi Paprik Ayam Ala Thai yang tidak muak ini pasti di gemari ramai kerana kuahnya yang berperisa yang separa pekat itu dan di campur pula dengan pelbagai sayur-sayuran yang anda mahukan. Masakan yang ringkas ini pasti dapat anda buat sendiri mengikut resepi di bawah ini tanpa perlu anda membelinya di kedai lagi selepas ini. Nak paprik ayam yang lagi padu dan sedap, makan bersama nasi putih dan sambal belacan serta ulam-ulaman. Memang padu habis! Pasti terangkat dan layaann!

Bahan – bahan

Bahan A

  • 200 gram isi dada ayam
  • Air masak secukupnya

Bahan B

  • 4 cm atau 1 ½  inci halia
  • 3 ulas bawang besar
  • 1 batang serai
  • Sedikit minyak masak

Bahan C

  • 4 sudu besar cili kisar
  • 1 sudu besar kicap manis
  • ½ sudu besar kicap pekat
  • 1 sudu besar sos/kicap ikan atau sotong
  • 2 sudu besar sos tiram
  • 1 sudu besar sos cili
  • Garam dan gula secukup rasa

Bahan D

  • 1 sudu kecil tepung jagung
  • Sedikit air masak

Bahan E

  • 5 helai daun limau purut
  • 7 tangkai cili padi
  • 1 mangkuk kecil kubis bunga
  • 3 tangkai kacang panjang
  • ½ batang lobak merah

Cara Penyediaan

  1. Untuk Bahan A, rebuskan isi ayam bahagian dada ayam yang telah di bersihkan terlebih dahulu di dalam kuantiti air masak yang sederhana banyak untuk tujuan mendapatkan stok ayam. Pastikan tidak sesekali merebusnya terlalu lama. Seterusnya, angkat isi-isi ayam tadi dan tuskannya. Selepas isi ayam tersebut yang di ketepikan telah sedikit sejuk, potongkannya kecil-kecil.
  2. Selepas itu, gunakan Bahan B pula untuk menumis. Hiriskan dahulu halia dan bawang besar secara nipis, manakala serai di ketuk terlebih dahulu. Lalu tumis ke semuanya di dalam minyak masak yang panas sehingga garing keperang-perangan dan berbau harum.
  3. Kemudian, campurkan pula Bahan C ke dalam kuali yang sama. Mula-mula masukkan dahulu cili kisar dan kacau sehingga tumisan berbau wangi. Selepas itu, barulah masukkan kicap manis, kicap pekat, sos tiram, sos cili dan bahan utama iaitu sos/kicap ikan atau sotong ke dalam masakan tersebut. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa dan gaul sehingga sebati.
  4. Langkah seterusnya, selepas di biarkan sebentar, masukkan semula Bahan A iaitu isi ayam yang telah di rebus dan di potong tadi ke dalam kuali. Gaul sehingga semua sos terkena pada semua isi ayam tersebut. Campurkan juga air rebusan isi ayam tadi ke dalam bahan tumisan untuk pastikan masakan ini sedikit berkuah. Biarkan ia mereneh seketika.
  5. Seterusnya, masukkan Bahan D iaitu bancuhan tepung jagung bersama sedikit air masak ke dalam masakan bertujuan untuk memekatkan kuat tersebut. Kacau sehingga rata dan biarkan selama dua minit.
  6. Langkah terakhir, masukkan Bahan E pula iaitu sayur-sayuran. Antara bahan-bahannya adalah daun limau purut, cili padi, kubis bunga, kacang panjang dan lobak merah. Pastikan limau purut di siat-siat kan terlebih dahulu dan ke semua cili padi di ketuk. Kacau sehingga semua sayuran menjadi lembut dan masak menyeluruh. Setelah semua rasanya cukup sebati, matikan api dapur dan hidang kan paprik ayam ini bersama nasi putih.
ayam paprik

Anda boleh mendapat lebih banyak resepi yang lain dengan hanya tekan disini.

Artikel lain: Resepi Stew Daging, Resepi Kari Ikan Sembilang