Resepi Masak Lemak Cili Api

Makanan Tradisional Negeri Sembilan

Makanan tradisional dan juga paling terkenal di Negeri Sembilan. Hidangan ini juga turut tersenarai dalam hidangan tersedap di Malaysia. Menu ini jika dimakan bersama nasi putih yang masih panas, boleh dikatakan rasanya sungguh menakjubkan!

Kalau anda berada di mana – mana restoran Negeri Sembilan, anda akan bau aromanya yang cukup memikat dan bau itu sahaja sudah cukup untuk membangkitkan selera sesiapa sahaja yang terhidunya. Siapa sangka hidangan masak lemak cili api ini boleh gunakan pelbagai lauk seperti udang, ikan daging dan ayam.

Yang paling wajib perlu ada pada masak lemak cili api ini ialah kepedasannya kerana ia merupakan kunci utama resepi ini. Jika tak pedas, itu bukan masak lemak cili api resepi original Negeri Sembilan.

Bahan – bahan

  • 1 ekor ayam, potong kecil
  • 15 biji cili padi
  • 1 helai daun kunyit
  • 2 ketul kunyit hidup
  • 1 batang serai, dititik
  • 1 keping asam gelugor
  • 1 mangkuk besar santan
  • Garam secukup rasa

Cara Penyediaan

  1. Bersihkan ayam dan ketepikan.
  2. Panaskan kuali tanpa minyak di atas api yang perlahan.
  3. Masukkan ayam yang dibersihkan ke dalam kuali tanpa minyak dan masak sehingga kering air yang keluar dari ayam. Ini adalah supaya ayam nanti tidak berbau hanyir.
  4. Masukkan pula cili padi dan kunyit yang sudah ditumbuk halus ke dalam kuali dan gaul sehingga sebati selama beberapa minit.
  5. Angkat ayam dan ketepikan sementara waktu.
  6. Dalam kuali yang sama, masukkan santan dan serai. Masak pada api perlahan sehingga mendidih dan kemudian masukkan kembali ayam tadi bersama daun kunyit dan asam gelugor. (Kacau supaya santan tidak pecah.)
  7. Boleh tambah air jika kuah terlalu pekat.
  8. Angkat dan hias dengan taburan hirisan daun kunyit.
resepi masak lemak cili api

Anda boleh mendapat lebih banyak resepi yang lain dengan hanya tekan disini.

Artikel lain : Resepi Kuih Tepung Pelita, Resepi Soto Ayam