Recipe Traditional

Resepi Lemak Ketam Buah Munggai

Resepi Ketam Masak Lemak Bersama Buah Munggai/Kelor

Mesti anda teringat-ingat dan rindukan akan masakan kampung yang selalu ibu anda masakkan setiap kali anda pulang ke kampung halaman. Antaranya ialah masak lemak yang sememangnya makanan kegemaran ramai, terutamanya Ketam Masak Lemak. Di tambah pula dengan buah munggai (sebutan orang belah utara Malaysia) atau sesetengah tempat menyebutnya sebagai batang/buah/kacang kelor. Buah ini berbentuk kacang dan kulitnya keras dan agak berserat. Ianya haruslah di kupas terlebih dahulu kulit luarnya dan dibuang sebelum mencampurkannya ke dalam mana-mana masakan ataupun gulai. Memang sesiapa pun yang pernah merasa buah munggai ini tahulah akan keenakan rasanya. Resepi Gulai Lemak Ketam Buah Munggai yang mudah ini boleh juga digantikan dengan udang jika anda mahu. Kalau di sebelah utara ini selalunya di campurkan dengan masak lemak telur atau ketam. Di masukkan juga sedikit kacang dhal, pasti terangkat dan sedap!

lemak ketam buah munggai

Bahan – bahan

Bahan Tumbuk

  • 10 tangkai cili padi
  • 3 cm kunyit hidup
  • 3 ulas bawang merah
  • 2 ulas bawang putih

Bahan Lain

  • 6 tangkai buah munggai
  • 3 cawan santan pekat
  • 1 cawan air masak
  • 1 keping asam gelugur
  • 1 batang serai
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 4 ekor ketam segar

Cara Penyediaan

  1. Tumbuk ke semua bahan-bahan tumbuk iaitu cili padi, kunyit hidup, bawang merah dan bawang putih sehingga benar-benar halus dan lumat.
  2. Seterusnya, masukkan santan pekat dan air masak ke dalam periuk dan nyalakan api dapur.
  3. Selepas itu, masukkan bahan yang telah ditumbuk tadi ke dalam santan tersebut. Kacau tanpa henti bagi mengelakkan santan menjadi berketul, lakukannya sehingga sebati dan panas mendidih. Setelah santan tadi mendidih agak lama sedikit, masukkan juga asam gelugur dan juga serai yang telah diketuk terlebih dahulu ke dalam periuk yang sama.
  4. Langkah seterusnya, masukkan pula ketam segar bersaiz sederhana besar yang telah dibersihkan satu persatu ke dalam kuah lemak tadi. Mandikan ketam tersebut dengan kuah lemak itu, pastikan ke semua bahagian ketam ditenggelami dengan kuah agar isi ketam dapat menyerap keseluruhan rasa kuah lemak ini. Jika tidak suka kuah yang terlalu pekat, bolehlah tambah sedikit air masak lagi mengikut kesesuaian dan citarasa masing-masing. Setelah kulit ketam bertukar warna menjadi agak kemerah-merahan, masukkan pula buah munggai yang telah dibuang kulit luarnya.
  5. Langkah terakhir, perasakan kuah lemak ketam tersebut dengan garam dan gula secukup rasa. Sebatikan rasa ke semuanya dan renehkan sebentar sehingga masak. Selepas itu, bolehlah matikan api dapur. Siap dan sedia di hidang bersama nasi panas!

Anda boleh mendapat lebih banyak resepi yang lain dengan hanya tekan disini.

Artikel lain: Resepi Risoles Isi Ayam, Resepi Sotong Kam Heong, Resepi Ikan Salmon Serbuk Rangup, Resepi Kurma Ayam