Resepi Laksam Lemak Original Kelate

Laksam Original Kelate / Laksa Putih

Sebut sahaja “laksam”, pasti semua orang dapat teka ia adalah makanan tradisi popular di kalangan orang Kelantan. Di sini disediakan Resepi Laksam turun temurun dari pantai timur, negeri Cik Siti Wan Kembang yang paling mudah disediakan dan pasti sangat sedap. Makanan yang amat digemari oleh khalayak ramai dari Perlis hingga Johor kerana ianya adalah hidangan lengkap yang dijamu bersama ulam-ulaman segar mengikut kesukaan dan selera masing-masing. Daripada usia kecil hingga ke tua, semua boleh nikmati resepi ini dengan baik. Jika dibuat oleh air tangan yang dikasihi sudah tentu rasanya lagi menyelerakan, betul?

laksam lemak

Bahan – Bahan

Laksam

  • 3 cawan tepung beras
  • ½ cawan tepung gandum
  • 5 cawan air suam
  • Garam secukup rasa
  • Boleh juga diganti dengan laksa

Kuah Laksam

  • 300 ml santan
  • 1 kg ikan kembung/selayang segar
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Sedikit lada hitam
  • 3 keping asam gelugur
  • 5 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • ½ inci halia

Sambal Belacan

  • 5 biji cili besar merah
  • 10 biji cili padi merah
  • 2 biji limau nipis
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Kisar/tumbuk kesemua cili dan gaul bersama air limau nipis, garam dan gula secukup rasa

Ulaman (pilihan)

  • Timun
  • Kacang Panjang
  • Salad/kubis
  • Limau kasturi
  • Bunga kantan
  • Taugeh
  • Daun kesum
  • Hiris halus kesemua bahan ulam

Cara Penyediaan

Untuk laksam

  • Campurkan tepung beras dan sedikit tepung gandum dengan rata. Masukkan air suam sedikit demi sedikit sehingga adunan kelihatan agak cair. Kemudian masukkan sedikit garam dan kacau sehingga sebati dan tidak berketul.
  • Langkah seterusnya, gunakan loyang atau tudung periuk berbentuk bulat untuk mengukus adunan tadi dan sapukan sedikit minyak masak pada permukaannya.
  • Tuang adunan tepung tadi sebanyak 2-3 senduk kecil, setiap keping laksam mestilah tidak terlalu tebal. Kukus selama 5-8 minit sehingga masak di dalam kukusan yang telah dipanaskan.
  • Gulung kepingan laksam yang telah masak dan gunting laksam tersebut setebal ½ inci sebelum dihidangkan. Ulang langkah sehingga adunan tepung habis dikukus.

Untuk kuah

  • Rebus ikan dengan sedikit air sehingga masak dalam 15 minit bersama dengan asam gelugur dan garam secukup rasa. Setelah itu, buang tulang ikan terlebih dahulu.
  • Masukkan isi ikan yang telah diasingkan dan dikisar ke dalam periuk dan didihkan bersama air rebusan ikan yang telah ditapis, bawang merah, bawang putih, halia, lada hitam yang juga telah dikisar. Kacau rata sehingga mendidih.
  • Kemudin masukkan pati santan, asam keping, garam dan gula secukup rasa. Biarkan mendidih seketika sahaja.
  • Langkah terakhir, tuangkan kuah yang masih panas ke atas hirisan laksa yang telah dikukus tadi. Hidangkan bersama ulam ulaman yang digemari dengan sambal belacan secukup rasa.

Tekan disini untuk melihat kepelbagaian resepi yang telah dikongsi.

Artikel lain: Resepi Kek Lemon, Resepi Biskut Mentega Kacang, Resepi Donat Sprinkle, Biskut Red Velvet