Resepi Kurma Ayam

Resepi Ayam Kurma Pekat Kaw Kaw

Kurma Ayam atau Ayam Masak Kurma yang dipengaruhi oleh resepi aslinya dari negara India sangat terkenal di kalangan rakyat Malaysia. Selain daripada menggunakan ayam sebagai bahan utama masakan ini, ia juga boleh digantikan dengan daging lembu ataupun kambing mengikut selera masing-masing. Berbeza dengan resepi kari ayam biasa, resepi kurma ayam ini sangatlah istimewa dan popular di restoran-restoran India. Malah, juga menjadi pilihan menu utama di majlis-majlis keraian di sini. Dengan berpandukan resepi mudah kurma ayam ini, pasti anda dapat memuaskan hati si suami atau isteri jika dapat memasaknya dengan air tangan sendiri di teratak anda.

Bahan – bahan

Bahan Kisar

  • 4 ulas bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • ½ labu bawang besar
  • 2 cm halia

Bahan Lain

  • 1 ekor ayam
  • 2 biji ubi kentang
  • 4 ulas bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • ½ labu bawang besar
  • 2 cm halia
  • 300 ml santan pekat
  • 4 sudu besar rempah kurma
  • 2 sudu besar kerisik
  • 2 sudu besar yogurt
  • 1 sudu kecil kas-kas (pilihan)
  • Gula dan garam secukup rasa
  • 2-3 sudu besar minyak sapi atau minyak masak
  • 2 batang kulit kayu manis
  • 4 kuntum bunga lawang
  • 1 tangkai cili hijau
  • 1 tangkai cili merah
  • 1 biji buah tomato
  • Beberapa helai daun pudina

Cara Penyediaan

  1. Ayam yang telah dipotong kecil dibersihkan dahulu dan dituskan airnya.
  2. Bawang putih, bawang merah, bawang besar dan halia dihiris secara halus. Selebihnya dikisar halus.
  3. Kemudian, campurkan bahan-bahan kisar iaitu bawang putih, bawang merah, bawang besar dan halia bersama rempah kurma dan gaul sehingga sebati.
  4. Setelah minyak sapi atau minyak masak di dalam kuali telah dipanaskan secukupnya, lalu ditumis kulit kayu manis, bunga lawang dan bahan-bahan yang telah dihiris halus tadi hingga naik bau wangi dan warnanya menjadi sedikit keperang-perangan.
  5. Langkah seterusnya, masukkan campuran rempah kurma dan bahan-bahan kisar tadi ke dalam kuali tersebut. Tumiskannya sehingga pecah minyak.
  6. Kemudian, masukkan ayam, ubi kentang yang telah dibelah kepada empat bahagian, dan tuangkan hanya separuh santan pekat dahulu ke dalam kuali. Didihkan sehingga ayam masak dan ubi kentang menjadi lembut.
  7. Jika suka menggunakan kas-kas, boleh masukkan ia ke dalam periuk atau kuali tadi dan kacau sehingga rata. Pastikan telah ia rendam terlebih dahulu dengan air panas lalu kisarnya sehingga benar-benar halus. Rempah kas-kas ini adalah biji daripada buah pokok popi.
  8. Seterusnya, masukkan kerisik, yogurt, dan lebihan santan pekat tadi yang berbaki lagi separuh. Perasakan dengan gula dan garam secukup rasa.
  9. Didihkan lagi sehingga isi ayam benar-benar empuk. Jika tidak berapa gemar kuah kurma yang agak pekat, bolehlah tambah sedikit air ke dalam masakan ini.
  10. Langkah terakhir, masukkan daun pudina, buah tomato yang dipotong empat, serta cili hijau dan cili merah yang telah dibelah dua sebagai hiasan penyeri warna terhadap masakan ini. Angkat dan sedia dihidangkan bersama nasi panas. Pasti lagi enak jika dapat dimakan dengan nasi hujan panas ataupun nasi minyak.
ayam kurma

Tekan disini untuk melihat kepelbagaian resepi yang telah dikongsi.

Artikel lain: Resepi Ayam Ros Merah, Resepi Daging Masak Hitam, Resepi Laksam Putih, Resepi Kek Lemon