Resepi Kari Udang Belimbing Buluh

Resepi Kari Udang Dengan Belimbing Buluh

Berbagai ragam kari telah di gayakan dalam masyarakat India mahupun Melayu kita. Selalunya bahan-bahan yang di gunakan untuk membuat kari pasti agak hampir sama di antara satu sama lain, walaupun berlainan nama resepinya. Istimewanya kali ini, bahan utama kita adalah dengan menggunakan belimbing buluh! Masak lemak dengan belimbing antara hidangan popular di negeri Johor. Tetapi kali ini kita akan mencuba Resepi Kari Udang dengan belimbing buluh yang mudah ini. Bahan-bahan yang di gunakan di adun sendiri, bahkan tidak sama sekali menggunakan serbuk kari yang di jual di mana-mana pasaran. Rasanya juga agak berbeza dengan kuah yang biasa dimakan, ianya lebih SEDAP! Anda sangat beruntung jika anda ada menanam pokok belimbing buluh di rumah anda, tentunya sesuai jika dimasak dengan kari udang ini untuk hidangan bersama keluarga. Selain belimbing, anda juga boleh gantikan dengan timun. Jadi marilah kita cuba resepi ini!

Bahan – bahan

Bahan Tumbuk

  • 4 ulas bawang merah
  • 10 tangkai cili padi merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 3 cm halia

Bahan Lain

  • 500 gram udang segar
  • 5 tangkai cili besar
  • 1 batang serai
  • 3 tangkai daun kari
  • 1 sudu besar serbuk ketumbar
  • 1 sudu besar cili kisar
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 1 cawan santan pekat
  • 1 sudu kecil serbuk kunyit
  • 10 biji belimbing buluh
  • Sedikit minyak masak
  • ½ cawan air masak

Cara Penyediaan

  1. Tumbuk ke semua bahan-bahan tumbuk iaitu cili padi merah, halia, bawang merah dan bawang putih sehingga benar-benar halus dan lumat.
  2. Seterusnya, nyalakan api dapur dan panaskan minyak masak di dalam periuk bagi tujuan menumis. Tumiskan ke semua bahan-bahan tadi yang telah ditumbuk halus itu sehingga naik bau wangi dan bawang-bawang tadi bertukar warna menjadi kekuning-kuningan.
  3. Selepas itu, hiriskan serai secara halus. Masukkan serai yang dihiris tadi bersama daun kari, cili kisar dan serbuk ketumbar yang telah di bancuh dengan setengah cawan air masak. Tumiskan sehingga berbau wangi.
  4. Langkah seterusnya, masukkan pula serbuk kunyit bagi membangkitkan rasa dan warna kari tersebut. Masukkan sekali dengan santan pekat ke dalam periuk tadi dan biarkannya mendidih sebentar. Kemudian, masukkan udang segar bersaiz sederhana besar yang telah di bersihkan terlebih dahulu berserta belimbing buluh dan cili besar ke dalam kuah. Kacau sehingga rata dan pastikan semua udang terendam dengan kuah agar isi udang dapat menyerap keseluruhan rasa kuah kari bersama belimbing buluh ini.
  5. Langkah terakhir, biarkan kuah mereneh selama lima minit dengan api sederhana besar dan perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Sebatikan rasa ke semuanya, dan bersedia untuk dinikmati seisi keluarga.

Anda boleh mendapat lebih banyak resepi yang lain dengan hanya tekan disini.

Artikel lain: Resepi Lemak Ketam Buah Munggai, Resepi Risoles Isi Ayam, Resepi Sotong Kam Heong, Resepi Ikan Salmon Serbuk Rangup, Resepi Kurma Ayam