Recipe Traditional

Resepi Ayam Ros Merah

Resepi Ayam Ros Merah Paling Mudah Ala-Ala Kenduri

Jika anda mahukan sesuatu yang lebih istimewa untuk hidangan hujung minggu bersama keluarga daripada ayam masak merah yang biasa dan membosankan, bolehlah anda mencuba resepi masakan Ayam Ros Merah yang enak ini. Resepinya hampir sama sedikit seperti memasak ayam masak merah, tetapi berbeza kerana menggunakan pelbagai rempah ratus tambahan seperti bunga lawang, bunga cengkih, kulit kayu manis, serai dan bahan yang paling utama iaitu santan dan esen ros untuk mendapatkan kuah yang lebih berperisa dan menaikkan rasa aromatik itu. Hidangan lauk ini bukan sahaja sedap dimakan dengan nasi putih panas, tetapi juga sangat sesuai jika digandingkan dengan nasi tomato. Pasti akan menjadi kegemaran anak-anak di rumah.

Bahan – bahan

Bahan Kisar

  • 1 labu bawang besar
  • 4 ulas bawang putih
  • 3 cm halia
  • 1 batang lobak merah
  • 1 biji tomato segar
  • 2 tangkai cili merah

Bahan Lain

  • 1 ekor ayam
  • Sedikit serbuk kunyit
  • 300 gram tomato puri
  • 300 ml santan pekat
  • 3 labu bawang Holland (bawang besar putih)
  • 2 sudu besar cili kisar
  • 1 sudu besar gula
  • 1 sudu kecil esen ros
  • Gula dan garam secukup rasa
  • Minyak jagung untuk menumis
  • 2 batang kulit kayu manis
  • 3 kuntum bunga lawang
  • 6 kuntum bunga cengkih
  • 4 biji buah pelaga
  • 3 batang serai
  • 1 tin kecil kacang pis

Cara – cara

  1. Lumurkan ayam yang telah dibersihkan dan dipotong kecil dengan sedikit garam dan serbuk kunyit. Goreng hingga tiga perempat masak sahaja dan tuskannya.
  2. Jangan digoreng ayamnya sehingga garing. Kerana rasa kuah yang akan disalut dengan ayam goreng yang terlalu garing nanti tidak akan dapat menyerap masuk ke dalam isi ayam tersebut.
  3. Panaskan setengah cawan besar minyak jagung di dalam kuali. Tumiskan kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga. Masukkan bawang Holland yang telah dihiris secara membulat dan tumis sehingga naik bau dan bawang agak kelayuan.
  4. Kemudian, masukkan bawang besar, bawang putih dan halia yang telah dikisar lumat kesemuanya ke dalam tumisan tadi. Masukkan pula lobak merah, tomato segar dan cili merah yang juga telah dikisar bahan-bahannya secara lumat. Tumis lagi dengan serai yang telah diketuk sehingga ke semua bahan-bahan tadi masak dan harum baunya.
  5. Langkah seterusnya, masukkan cili kisar, tomato puri, santan pekat dan esen ros ke dalam kuali tadi. Didihkan kuah hingga semua bahan sebati.
  6. Masukkan ayam yang telah digoreng tadi dan kaup-balikkan secara rata. Perisakan dengan gula dan garam secukup rasa.
  7. Langkah terakhir, didihkan hingga kuah menjadi agak pekat. Jika mahu, juga boleh ditambah dengan kacang pis sebelum api di tutup. Angkat dan hidangkan bersama nasi tomata, pasti menjadi hidangan paling sempurna. Boleh juga ditabur dengan bawang goreng dan daun pudina di atasnya sebagai hiasan.
resepi ayam ros merah

Tekan disini untuk melihat kepelbagaian resepi yang telah dikongsi.

Artikel lain: Resepi Daging Masak Hitam, Resepi Laksam Putih, Resepi Kek Lemon, Resepi Biskut Mentega Kacang