Baka Kucing Haiwan Profile

Kucing Hutan Norway, Tentang Baka Kucing Anda

Pengenalan

Kucing Hutan Norway atau dalam bahasanya tersendiri iaitu Norsk skogkatt atau Norsk skaukatt. Baka ini adalah baka kucing domestik yang berasal dari Eropah Utara. Kucing ini juga dikenali sebagai ‘Wegie’ sebagai nama singkatan daripada “Norwegian”. Baka semula jadi ini disesuaikan dengan iklim yang sangat dingin dengan bulu lebat yang mempunyai lapisan atas yang kalis air berkilat panjang, dan juga lapisan bawah bulu sebagai penebat.

Ia boleh menjadi anggota keluarga anda yang amat berdikari dan penyayang yang sukakan perhatian pemiliknya tetapi tidak menunjuk sangat. Baka ini juga salah satu baka yang pendiam dan hanya sekali – sekala sahaja anda akan mendengarnya berbunyi. Ia amat suka bermain jadi sediakan banyak permainan atau aktifkan diri anda bersama si manja ini.

kucing hutan norway

Sejarah

Mengikut sejarah, keturunan ini adalah baka kucing berbulu panjang yang dibawa ke Norway oleh Viking sekitar tahun 1000 Masihi. Kemungkinan baka yang dibawa balik adalah baka kucing Angora Siberia dan Turki moden. Selain itu, baka ini hampir pupus daripada muka bumi ini semasa Perang Dunia II! Dengan bantuan Norwegian Forest Cat Club, baka ini dapat dibiak semula menerusi program pembiakan rasmi. Dengan hasil usaha oleh peminat si manja ini, Carl – Fredrik Nordane, ia telah didaftarkan sebagai baka kucing domestik dengan European Fédération Internationale Féline pada tahun 1977.

Mengikut mitos agama Norse, baka ini adalah haiwan kegemaran di kalangan dewa dan dewi terumatanya dewi Freyja. Dewi Freyja dikatakan mempunyai kucing raksasa yang menarik keretanya ke pertempuran dan Thor pernah dikalahkan dalam pertandingan kekuatan dengan anak Loki, Jormundgandr (Ular Raksasa) yang pada ketika itu menyamar sebagai kucing hutan.

Penampilan

kucing hutan norway

Ciri mereka yang paling membezakan daripada baka lain adalah kot bulu yang panjang, tebal dan saiz badan yang besar. Kepala Kucing Hutan Norway berbentuk seperti segitiga terbalik, dihiasi dengan telinga yang berbulu sederhana .

Kucing hutan Norway mempunyai lapisan (luar) bulu tahan air yang panjang. Ia tidak perlu dicuci kerap kali kecuali dalam keadaan khas seperti terdedah kepada keadaan kotor atau keperluan perubatan. Bulu lebat disesuaikan untuk musim sejuk Norway yang bersalji tebal. Selain itu lapisan bawah yang padat dapat memanaskan mereka. Oleh kerana bulunya amat lebat, ia memerlukan penjagaan yang kerap. Bulunya amat kuat gugur selepas musim sejuk berakhir dan ketika masuknya musim bunga. Kucing hutan Norway tidak dianggap sebagai spesis hypoallergenic kerana bulunya kuat gugur.

Bulu lebat kucing hutan Norway terdapat dalam pelbagai warna dan corak. Warna bulunya termasuk putih, hitam, biru, merah, krim, perak, dan keemasan. Seterusnya corak bulu satu warna, dua warna, tortoiseshell, calico, dan tabby. Mata berbentuk almond yang besar bervariasi dari hijau yang menakjubkan hingga emas dan tembaga. Mereka mempunyai dada besar, paha berotot, kaki bulat, dan ekor lebat panjang. Dibawah adalah senarai carta yang diringkaskan:

  • Berat: 6 – 10 kg
  • Hayat: 14 – 16 tahun
  • Bulu Gugur: Banyak
  • Jenis Bulu: Mempunyai 2 lapisan bulu, lapisan luar kalis air
  • Kot Bulu: Panjang
  • Warna Bulu: Putih, hitam, biru, merah, krim, perak, dan keemasan.

Sikap & Perangai

Oleh kerana nenek moyangnya adalah kucing liar, ia masih lagi mempunyai minat untuk memanjat. Jadi anda perlu dapatkan rumah kucing yang tinggi atau pokok untuk kucing ini menggunakan sifat semula jadi untuk memanjat kalau tidak bahagian belakang sofa anda yang akan menjadi tempat panjatnya di dalam rumah anda.

Selain itu, ia juga terkenal sebagai pemburu yang hebat dan penjaga yang melindungi gudang dan rumah pada zaman dahulu. Ia juga pernah dibawa oleh kumpulan Viking menaiki kapal kerana kemahiran memburu mereka. Oleh itu anda boleh sediakan penunjuk laser atau bahan mainan lain untuk memberi kucing anda senaman yang menyeronokkan.

Walaupun ia gemar bermain ia tidak menuntut perhatian yang berterusan. Kucing hutan Norway boleh sahaja santai bersama tuannya dalam bilik yang sama dan ia dengan senang hati akan menghiburkan dirinya sendiri ketika bersendirian. Baka ini boleh bergaul dengan anjing dan kucing yang lain, serta amat peramah dengan anak – anak yang kecil.

  • Perangai: Berani, sosial, mesra
  • Kepintaran: Tinggi
  • Aktif: Tinggi, suka bermain
  • Vokal: Rendah, pendiam

Penjagaan & Rawatan

Kucing hutan Norway adalah baka kucing yang semula jadi dan tidak menunjukkan masalah kesihatan yang muncul pada baka kacukan. Kucing ini secara tidak langsungnya sangat sihat, tetapi terdapat beberapa keadaan yang mungkin terdedah kepada baka ini seperti:

  • Mata: Retina Dysplasia, Conjuctivitis, Glaucoma, Cataract, Entropion
  • Penyakit Jantung: Hypertropic, Cardiomyopathy
  • Cystitis
  • Penyakit Buah Pinggang
  • Masalah Ortopedik

Kucing hutan Norway lebih suka diet protein tinggi (ayam, ikan dan daging). Kadang-kadang mereka boleh memilih jika makanan mereka tidak suka. Kurangkan atau elakkan karbohidrat dan juga makanan proses kerana dikhuatiri masalah kesihatan. Si manja ini akan makan lebih banyak daripada kucing biasa kerana badan yang besar.

Untuk melihat fakta haiwan dan makanan yang menarik, anda boleh tekan disini.

Artikel lain: Kucing Siberia, Spesies Rusa Terbesar, Spesies Tikus Belanda

1 comment

Comments are closed.

error: Content is protected !!
%d bloggers like this: